星期三, 三月 16

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT

YB Senator Heng Seai Kie telah menjawab soalan 10 yang dikemukakan oleh
YB DR. CHE ROSLI BIN CHE MAT (HULU LANGAT) pada 16 MAC 2011 (RABU)

SOALAN :

YB Dr. Che Rosli bin Che Mat (Hulu Langat) minta MENTERI PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT menyatakan kejayaan yang dicapai selama ini oleh Institut Sosial Malaysia dalam melatih remaja-remaja dalam negara.

JAWAPAN :

Tuan Yang di-Pertua,

Institut Sosial Malaysia (ISM) yang mula beroperasi pada 2002 adalah sebuah institusi latihan awam di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang menyediakan latihan kepada pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian serta agensi-agensi di bawahnya. Namun tumpuan latihan di ISM adalah kepada kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia bagi memperkasakan kemahiran dan kepakaran mereka dalam bidang Perkhidmatan Kebajikan, Pembangunan Komuniti, Kerja Sosial dan Pembangunan Sosial. Selain itu, ISM turut memberi latihan dan menjalankan bengkel serta seminar berkaitan pembangunan dan kemahiran sosial kepada pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan, pembantu-pembantu sosial, pelajar-pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan juga golongan remaja.

ISM sebagai institusi latihan telah melaksanakan program bagi membantu golongan remaja melalui dwi mekanisme iaitu:
a) Menyediakan latihan kepada Pegawai-Pegawai Kebajikan Masyarakat, Pekerja Sosial dan Kaunselor bagi membantu remaja mengurus diri dan menangani gejala sosial; dan

b) Melatih remaja secara terus melalui aktiviti, bengkel dan seminar berkaitan kemahiran sosial.

Tuan Yang di-Pertua,

ISM juga turut menganjurkan program-program berbentuk bengkel dan seminar berkaitan pembangunan dan kemahiran sosial yang dihadiri oleh remaja dan pelajar-pelajar IPT dan pelajar sekolah. Antara seminar dan bengkel berkaitan remaja yang dianjurkan adalah seperti:
a) Seminar Golongan Berkeperluan Khas: Wanita dan Gadis;
b) Seminar Golongan Berkeperluan Khas: Kanak-Kanak Perlu Dilindungi;
c) Bengkel Kemahiran Sosial: Cegah dan Selamatkan Seribu Insan;
d) Bengkel Kemahiran Sosial Remaja: Juara Rakan Sebaya;
e) Bengkel Kemahiran Sosial: Sukarelawan Kami Prihatin;
f) Bengkel Kemahiran Sosial: Sukarelawan dan kemahiran menolong;
g) Bengkel Kemahiran Sosial Remaja: Juara Keluarga; dan
h) Kursus Sukarelawan Jiwa Malaysia yang turut melibatkan remaja.

Pada tahun 2010, seramai 504 orang remaja telah menyertai kursus-kursus dan bengkel yang dianjurkan oleh ISM dan perancangan sedang giat dilaksanakan untuk meningkatkan penyertaan remaja dalam penganjuran-penganjuran kursus dan latihan yang dilaksanakan pada tahun 2011.

Di samping itu, dalam menjamin program yang terbaik dilaksanakan, ISM turut menjalankan beberapa kajian yang melibatkan isu-isu sosial dan responden remaja seperti kajian Budaya Sukarelawan dan Kajian Remaja Lari Dari Rumah. Kementerian yakin melalui pelbagai latihan yang diberikan diharap akan terus memberi manfaat kepada remaja sebagai aset penting negara.

没有评论:

发表评论