星期三, 十月 27

Elaun Bulanan Sementara 1AZAM

SHAH ALAM, 25 Oktober 2010 – Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM66 juta di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi Meningkatkan Taraf Hidup Isi Rumah Berpendapatan Rendah (LIH) bagi melaksanakan insiatif Elaun Bulanan Sementara 1AZAM untuk dimanfaatkan oleh 23,000 isi rumah miskin tegar. YB Senator Dato’ Sri Shahrizat Abdul Jalil, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah melancarkan pelaksanaan inisiatif ini yang dijalankan secara serentak di seluruh negara kepada semua KIR miskin tegar yang berdaftar di dalam sistem eKasih mulai hari ini. Elaun Bulanan Sementara 1AZAM ini bersifat bantuan sementara yang akan diberi kepada KIR miskin tegar untuk tempoh selama tiga (3) bulan bermula Oktober hingga Disember 2010.

Mulai tahun 2011, dari bulan Januari hingga Disember, Elaun Bulanan Sementara 1AZAM ini akan diteruskan kepada peserta miskin tegar yang produktif dengan syarat mereka mesti menyertai salah satu daripada empat Program 1AZAM (Akhiri Zaman Miskin). Bagi KIR yang tidak produktif, mereka akan dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk bantuan kebajikan yang bersesuaian, sementara Ahli Isi Rumah (AIR) kepada KIR yang tidak produktif akan ditawarkan salah satu daripada empat Program 1AZAM dan akan terus menerima Elaun Bulanan Sementara 1AZAM. Ini adalah bagi menggalakkan mereka untuk terus meningkatkan pendapatan dan taraf hidup mereka secara produktif.

Elaun Bulanan Sementara 1AZAM ini boleh mula dikutip oleh KIR yang layak di semua cawangan Pejabat Pos Malaysia di seluruh negara. KIR tersebut akan diberi surat pemberitahuan penerimaan Elaun Bulanan Sementara 1AZAM daripada KPWKM melalui Pos Malaysia dan perlu membawa surat tersebut serta kad pengenalan bagi tujuan kutipan di pejabat pos berhampiran.

Program 1AZAM merupakan program bagi membantu meningkatkan pendapatan KIR miskin tegar bagi membolehkan mereka keluar daripada kepompong kemiskinan. Empat komponen di bawah Program 1AZAM ialah AZAM Kerja, AZAM Niaga, AZAM Tani dan AZAM Khidmat. Kerajaan Persekutuan amat komited dalam usaha membasmi kemiskinan tegar di negara ini. Adalah diharapkan Elaun Bulanan Sementara 1AZAM ini akan menjadi pembakar semangat kepada golongan miskin tegar mempertingkatkan taraf hidup mereka agar tidak terus bergantung kepada bantuan Kerajaan untuk selamanya.

没有评论:

发表评论