星期五, 三月 25

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT

YB Senator Heng Seai Kie telah menjawab soalan yang di kemukakan oleh YB Tuan Sim Tong Him(Kota Melaka) pada 22 MAC 2011 (Selasa)

SOALAN :

YB Tuan Sim Tong Him (Kota Melaka) minta MENTERI PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT menyatakan :-
(a) jumlah ibu tunggal yang memohon bantuan untuk tahun 2010, sila berikan angka mengikut setiap negeri; dan
(b) senaraikan semua jenis bantuan yang dapat diberikan kepada mereka.

JAWAPAN :

Tuan Yang di-Pertua,

(a) Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan pelbagai skim bantuan kebajikan bagi memastikan golongan miskin dan berkeperluan, termasuk ibu tunggal dapat dibantu.

Sepanjang tahun 2010, sebanyak RM163,855,217.00 telah disalurkan kepada seramai 73,255 orang penerima bantuan dari kategori ibu tunggal di seluruh negara. Negeri Sarawak mencatat jumlah tertinggi bagi penerima bantuan kategori ibu tunggal iaitu 13,308 kes dengan jumlah peruntukan yang telah disalurkan sebanyak RM27,082,479.00. Manakala Wilayah Persekutuan Labuan pula mencatat jumlah terendah penerima bantuan kategori ibu tunggal iaitu sebanyak 137 kes dengan jumlah peruntukan sebanyak RM264,000.00. Bagi jumlah kes dan peruntukan yang telah disalurkan ke setiap negeri, perincian tersebut akan diberikan kepada Ahli Yang Berhormat secara bertulis.


(b) Jenis-jenis bantuan yang disediakan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui JKM kepada golongan ibu tunggal adalah seperti berikut:-

i) Bantuan Kanak-kanak (BKK)
Bantuan ini adalah untuk membantu menampung perbelanjaan persekolahan anak-anak dari keluarga miskin termasuk ibu tunggal. Kadar bantuan ini ialah antara RM100.00 seorang sebulan hingga maksimum RM450.00 sekeluarga sebulan. Pada tahun 2010, sebanyak 47,526 ibu tunggal menerima BKK melalui JKM berjumlah RM111,986,603.00. Negeri Sarawak telah mencatat jumlah tertinggi iaitu 7,316 kes dengan jumlah peruntukan sebanyak RM15,331,565.00 manakala Wilayah Persekutuan Labuan mencatat jumlah kes terendah iaitu sebanyak 58 kes dengan jumlah peruntukan sebanyak RM106,800.00.

ii) Bantuan Geran Pelancaran (BGP)
Bantuan ini dipertimbangkan kepada semua klien termasuk golongan ibu tunggal yang berminat untuk menjalankan perniagaan kecil-kecilan sebagai bantuan modal permulaan yang boleh mendatangkan pendapatan ke arah hidup berdikari dan tidak bergantung kepada bantuan bulanan secara berterusan dari JKM. Kadar bantuan ialah tidak melebihi RM2,700.00 seorang sekaligus. Sepanjang tahun 2010, sejumlah RM357,500.00 telah disalurkan kepada 142 orang ibu tunggal sebagai modal permulaan. Negeri Terengganu mencatat jumlah kes tertinggi iaitu sebanyak 67 kes dengan jumlah peruntukan sebanyak RM173,200.00 manakala Negeri Pulau Pinang mencatat jumlah kes terendah dengan 1 kes dan melibatkan peruntukan sebanyak RM2,700.00.

iii) Bantuan Am (BA)
Bantuan bulanan ini dipertimbangkan kepada keluarga miskin dan daif termasuk golongan ibu tunggal untuk membantu meringankan kesulitan kewangan yang dihadapi buat sementara waktu sehingga suatu jangka masa mereka dapat berdikari. Kadar bantuan yang diberikan adalah berbeza mengikut negeri. Pada tahun 2010, sebanyak 25,587 orang ibu tunggal menerima BA melalui JKM berjumlah RM51,511,114.00. Negeri yang mencatat jumlah penerima bantuan tertinggi adalah Sarawak iaitu 5,992 kes dengan jumlah peruntukan sebanyak RM11,750,914.00. Negeri yang mencatat jumlah terendah adalah Wilayah Persekutuan Labuan dengan 70 kes dengan jumlah peruntukan sebanyak RM134,600.00.

Selain itu, Kementerian melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) menjalankan program-program peningkatan kapasiti dan latihan kemahiran ekonomi untuk ibu-ibu tunggal seperti pengasuhan kanak-kanak dan industri pemakanan.

没有评论:

发表评论