星期三, 三月 16

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT

YB Senator Heng Seai Kie telah menjawab soalan 4 yang dikemukakan oleh YB PUAN CHONG ENG (BUKIT MERTAJAM) pada 15 MAC 2011 (SELASA)

SOALAN :

YB Chong Eng (Bukit Mertajam) minta MENTERI PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT menyatakan jumlah bilangan rumah kebajikan di negara ini dan berapakah di antaranya tidak berdaftar dengan Kementerian. Nyatakan jumlah kes jenayah seksual ke atas kanak-kanak di rumah kebajikan dan langkah mengatasi masalah ini.

JAWAPAN :

Tuan Yang di-Pertua,

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui JKM bertanggungjawab terhadap aspek pengawalan rumah kebajikan di negara ini melalui peruntukan di bawah Akta Pusat Jagaan 1993 [Akta 506] dan Peraturan-peraturan Pusat Jagaan 1994.

Berdasarkan statistik Jabatan, sehingga Januari 2011 sebanyak 425 buah pusat jagaan telah berdaftar dengan JKM. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 248 buah pusat jagaan adalah pusat jagaan kanak-kanak.

Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sehingga bulan Disember 2010 sebanyak 3 kes jenayah seksual ke atas kanak-kanak di rumah kebajikan telah direkodkan.

Kementerian memberi perhatian serius kepada isu jenayah seksual ke atas kanak-kanak di rumah kebajikan selaras dengan tumpuan KPWKM untuk mewujudkan “Safe Childhood”. Antara langkah-langkah yang diambil termasuklah:

i. Penggubalan Dasar Kanak-Kanak Negara dan Dasar Perlindungan Kanak-kanak berserta Pelan Tindakan Dasar Kanak-Kanak Negara yang diluluskan pada 29 Julai 2009. Dasar Kanak-kanak Negara memberi penekanan kepada elemen kelangsungan hidup (survival), perlindungan, perkembangan, penyertaan, advokasi dan penyelidikan dan pembangunan demi kesejahteraan kanak-kanak;

ii. Pengambilan kakitangan atau pekerja yang berhubung secara langsung atau tidak langsung dengan kanak-kanak hendaklah melalui proses penapisan yang ditetapkan oleh Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam seperti yang digariskan di bawah Dasar Perlindungan Kanak-kanak Negara; dan

iii. Peraturan-Peraturan Pusat Jagaan 2011 telah dihantar ke Jabatan Peguam Negara dan sedang menunggu kelulusan bagi mewajibkan semua petugas/penjaga di pusat jagaan untuk menghadiri Kursus Penjagaan.

没有评论:

发表评论