星期三, 三月 23

RM164juta bantu 73,255 ibu tunggal sepanjang 2010

KUALA LUMPUR 22 Mac - Kerajaan menyalurkan bantuan kewangan kira-kira RM164 juta kepada 73,255 ibu tunggal di seluruh negara sepanjang 2010.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Heng Seai Kie berkata, daripada keseluruhan peruntukan itu Sarawak mencatatkan jumlah tertinggi dengan sumbangan RM27.1 juta bagi 13,308 ibu tunggal.

Pada masa sama, kata beliau, Wilayah Persekutuan Labuan pula mencatat jumlah terendah penerima bantuan kategori ibu tunggal iaitu 137 kes dengan peruntukan RM264,000.

''Antara jenis bantuan yang disediakan oleh kementerian melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat kepada ibu tunggal ialah bantuan perbelanjaan persekolahan anak-anak RM100 hingga RM450 sebulan.

''Selain itu, bantuan geran pelancaran tidak melebihi RM2,700 untuk membantu ibu-ibu tunggal memulakan perniagaan kecil-kecilan dan bantuan am iaitu untuk meringankan masalah kesulitan kewangan khusus untuk mereka yang daif," katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Sim Tong Him (DAP-Kota Melaka) yang meminta kementerian menyatakan jumlah ibu tunggal yang memohon bantuan untuk 2010.

Seai Kie memberitahu, bagi bantuan kanak-kanak, kira-kira RM112.1 juta disalurkan kepada 47,526 ibu tunggal untuk 2010 dengan Sarawak mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak RM15.3 juta bagi 7,316 kes.

Katanya, Wilayah Persekutuan Labuan masih mencatatkan jumlah kes terendah iaitu 58 kes dengan jumlah peruntukan RM106,800.

Dalam pada itu, Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) mencadangkan supaya suami atau bapa yang lari daripada tanggungjawab terhadap isteri sehingga menyebabkan isteri terlibat menjadi ibu tunggal wajar dikenakan tindakan undang-undang.

Menjawab soalan tersebut, Seai Kie berkata, bentuk hukuman atau tindakan undang-undang yang dicadangkan itu tidak dapat dilaksanakan kerana ia bukan di bawah bidang kuasa kementeriannya walaupun pihaknya turut bersetuju dengan cadangan itu.

Mengenai pecahan jumlah mengikut gender pengurusan teratas dalam perkhidmatan awam, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, jumlah keseluruhan pegawai ialah 1,604 orang dan 521 iaitu 32.4 peratus daripadanya adalah wanita.

Katanya, jumlah itu sekali gus mencapai sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus penglibatan wanita dalam pembuat keputusan.

没有评论:

发表评论