星期二, 三月 15

Pemberitahuan PertanyaanDewan Rakyat

YB Senator Heng Seai Kie telah menjawab soalan 5 yang dikemukakan oleh YB DATUK RAIME BIN UNGGI (TENOM) pada 14 MAC 2011 (ISNIN).

SOALAN :

YB Datuk Raime bin Unggi (Tenom) minta MENTERI PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT menyatakan apakah langkah-langkah untuk menangani masalah rungutan orang ramai berkaitan kelembapan pentadbiran Jabatan Kebajikan Masyarakat dalam menguruskan bantuan kepada rakyat yang layak.

JAWAPAN :

Tuan Yang di-Pertua,

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah melaksanakan pelbagai usaha bagi mempertingkatkan lagi perkhidmatan Jabatan Kebajikan Masyarakat dalam menguruskan bantuan kepada rakyat yang layak. Antara usaha-usaha yang telah dilaksanakan termasuklah:

a. Kuasa meluluskan bantuan diturunkan daripada Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri kepada Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah berkuatkuasa 28 April 2006 dan seorang pegawai tambahan yang terdiri dari pegawai kanan (Gred S32) di peringkat daerah berkuatkuasa pada 19 Mac 2010;

b. Bayaran kepada penerima bantuan dibuat pada 1 haribulan setiap bulan di semua Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah / Jajahan / Bahagian mulai 1 September 2009 bagi negeri-negeri di Semenanjung dan mulai 1 Januari 2010 bagi negeri-negeri Sabah dan Sarawak melalui Surat Arahan Ketua Setiausaha KPWKM berkuatkuasa 31 Julai 2009;

c. Mewujudkan Tabung Bantuan Segera bagi memastikan kes-kes yang memerlukan bantuan segera dapat dibantu berkuatkuasa 24 April 2008;

d. Melaksanakan projek rintis kaedah Perekayasaan Proses dan Prosedur Kerja (PPPK) terhadap proses dan prosedur kerja bantuan kewangan di enam buah Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) iaitu PKMD Kuala Terengganu, PKMD Hilir Perak, PKMD Kinta, PKMD Seremban, PKMD Port Dickson dan PKMD Melaka Tengah. Melalui PPPK ini, permohonan bantuan diproses terus di pejabat dan keputusan permohonan dimaklumkan terus kepada klien pada hari yang sama selepas siasatan / temuduga dijalankan; dan

e. Memperbanyakkan urusan pembayaran bantuan dibuat melalui bank. Pada masa ini JKM menggunakan dua kaedah pembayaran bantuan bulanan kepada penerima bantuan iaitu melalui bayaran secara tunai dan melalui bank. Secara purata, 60% bayaran bantuan kebajikan bulanan dibuat melalui bank manakala bakinya dibayar secara tunai. Bagi bayaran melalui bank, semua penerima bantuan bulanan JKM menerima bantuan pada tarikh yang ditetapkan iaitu pada 1 haribulan setiap bulan. Usaha-usaha sedang giat diambil oleh JKM untuk meningkatkan lagi bilangan penerima melalui bank sehingga 90% supaya bayaran secara tunai hanya dihadkan kepada mereka yang benar-benar tidak mampu ke bank seperti pesakit kronik dan terlantar.

没有评论:

发表评论